KURSUS BAHASA INGGERIS DAN ASAS BAHASA TAGALOG KEPADA TENTERA DARAT KEM BUKIT COWDER, PERLIS

Misi ketenteraan di luar Negara menjadi satu rutin untuk para pejuang keselamatan negara bagi persediaan menghadapi sebarang bencana atau ancaman luar jangka. Pertukaran kepakaran antara negara ini mampu meningkatkan tahap keselamatan negara supaya lebih bersedia dengan teknik kepakaran baharu yang dipelajari. Amanah yang dipikul oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini memerlukan komitmen yang amat tinggi dalam kepakaran ilmu ketenteraan dan ilmu akademik yang berkaitan.

Atas dasar tersebut, dan kesedaran akan keperluan universiti menyumbang kepada negara dalam apa bentuk sekali pun, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) dengan kerjasama 4RRD Kem Bukit Cowder akan menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris melibatkan hampir 50 orang pegawai tentera ATM. Pasukan tentera darat ini akan bersama anggota tentera Filipina pada bulan Oktober 2017 untuk misi Eksesais Land Malphi Siri 18/2017. Misi ke luar negara ini pastinya menuntut anggota tentera untuk berkomunikasi menggunakan bahasa selain dari bahasa Melayu. Justeru, CIL mengambil langkah kerjasama untuk mengadakan kelas bahasa Inggeris dan asas bahasa Tagalog sebagai persediaan mereka ke misi tersebut.

Program kerjasama tahunan antara pasukan ATM bersama pasukan tentera Filipina ini diadakan bagi persediaan mempelajari teknik Human Assistance Disaster Relief (HADR) atau Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana. HADR memberi pendedahan untuk persediaan kepada anggota tentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku di dalam negara.
Program anjuran CIL ini akan diadakan bermula 13 sehingga 17 Jun 2017 di UniMAP Kampus Pauh Putra. Kelas yang akan dikendalikan oleh lima (5) orang staf CIL termasuk seorang staf antarabangsa dari Filipina ini akan memfokuskan pengajaran dan pembelajaran kepada penggunaan bahasa bagi aspek-aspek berkaitan HADR. Sesi pembelajaran akan memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan, pendengaran dan kerja berkumpulan, dengan harapan kemahiran yang diperolehi dapat membantu pegawai tentera ATM melaksanakan misi tersebut dengan lebih efisyen dan efektif.